Pages

..::Tanah Ini::..

..::Tanah Ini::..

Friday 18 November 2011

Mendengar sambil Memanjat Doa dan Harapan

Meruntun jiwa bila mendengar dan meneliti bait terakhir lagu Irfan Makki, Waiting for Your Call, yang bernada "Labbaikallahumma labbaik...labbaika la syarikalaka labbaik..innal hamda wan ni'mata laka wal mulk...la syarikalaka labbaik...". 
Sungguh, terik berhimpitan di belakang Hijr Ismail lebih menikmatkan berbanding berlapang berdingin hawa di musala pejabat. 
Berlarian di kejauhan Safa Marwah lebih mengasyikkan berbanding berlari sepusingan dengan kasut mahal di trek stadium. 
Memandang Baitul Atiq lebih mengharukan, tanpa mampu dileraikan dengan kata-kata, daripada memandang gagahnya memandang Menara Berkembar di tanah air sendiri. 
Bertingkah-tingkah meniti batuan ke Bukit Cahaya (Jabal Nur) demi sebuah pengajaran perjuangan awal Islam, lebih membahagiakan daripada meniti laluan kaki Gunung Kinabalu. 
Tiupan mendinginkan telinga tika menapak ke Masjid Kubah Hijau (Masjid Nabawi) lebih mengesankan daripada dingin Tanah Tinggi Cameron. 
Merendahkan kepala walau sedetik cuma, kerana terpaksa bergiliran, di Raudah Rasul-Nya, lebih diingati daripada sujud berdoa panjang di Masjid Negara yang indah. 
Memerhati hiruk-pikuk manusia, gelagat perbuatan mereka, lebih membuatkan hati rasa merendah diri, kerana tanpa mengira apa-apa status, semuanya putih berkelubung melakukan ritual yang sama, demi menyahut seruan sebagai tetamu-Nya. 
Segala ritual Islam itu, membuatkanku lebih mengerti dan memahami, "Sesungguhnya Safa dan Marwah itu ialah sebahagian daripada Syiar agama Allah; maka sesiapa yang menunaikan ibadat Haji ke Baitullah, atau mengerjakan Umrah, maka tiadalah menjadi salah ia bersaie antara keduanya. Dan sesiapa yang bersukarela mengerjakan perkara kebajikan, maka sesungguhnya Allah memberi balasan pahala, lagi Maha Mengetahui". (Al-Baqarah: 158). 
Lambaian itu sering menggamitku, melebihi ghairah meladeni perasaan untuk ke Madame Tussauds London, luncuran Alps Switzerland, Eiffel Tower Paris, menyusuri terusan Venice, Glasier New Zealand. 
Alangkah indahnya, jika lambaian Kiswah itu dapat digamit tidak hanya berseorangan. Ya, pasti aku menanam azam untuk ber'labbaik' bersamanya, menikmati nyaman Bandar Bercahaya (Madinah), menghirup kering debu Bumi Bakkah (Makkah) bersama untuk menambah rasa kehambaan, menghargai hidup dengan penuh bakti untuk bekalan, memohon segala kebaikan demi sebuah kelangsungan satu pertalian yang berkekalan selamanya. 
Bersama adik bersetentangan dengan kubah hijau

Sebelum khutbah Jumaat oleh Syeikh Syuraim bermula

Kawasan Raudah

Bukit Marwah, usai bercukur untuk tahallul

Iqra' dibacakan kepada Nabi oleh Jibril

No comments:

Post a Comment