Pages

..::Tanah Ini::..

..::Tanah Ini::..

Tuesday 12 January 2010

Aduhai Panggilan Rezeki.....



(Gambar-gambar ini diambil pada jam 6.57 pagi dari tingkap kamar)


Aduh, pagi ini terlambat menunaikan kewajiban yang memang wajib dilakukan setiap hari sepanjang hayat. Adakah akibat mata ini yang degil tak mahu lelap awal? Duhai mata,lepas ini kena beradu awal....
Tersedar sahaja,terus bergegas-gegas menyucikan diri. Usai sahaja membuka hari, tertarik pula dengan rembulan sabit (purnama sedang menyendiri tanpa mahu dilihat oleh sang perindunya) dan gumpalan awan yang berbentuk. Tangan terus ringan mendetikkan bunyi kamera.
Aduh, mata ini sekali lagi memesrai kantuk, hilang kudrat mahu menyahut panggilan rezeki..... Namun panggilan itu hanya didengari dalam mimpi hening pagi sahaja akhirnya. Selamat tinggal panggilan rezeki 12 Januari 2010..... Titik.

Sunday 10 January 2010

'Perasan bagus' sasterawan alumni MPR

Setiap tahun, bermula 1985, Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) menaja 30 orang remaja dari seluruh negara yang dianggap berbakat dalam dunia penulisan.

Antara mereka, pemenang Hadiah Sastera Siswa (HSS) – kini ditamatkan – dan penyumbang di majalah Dewan Siswa.

Setelah diasuh dalam program intensif selama seminggu, setelah dibedah karya masing-masing, kumpulan ini diberi peluang menyumbang dalam antologi cerpen dan sajak yang akan diterbitkan DBP.

Walaupun hadir berkursus hanya selama seminggu, alumni MPR ini dianggap sebagai "anak emas di kolam kencana" agensi bawah Kementerian Pelajaran itu.

Tidak pasti apakah sebenarnya kelebihan bergelar alumni program tersebut, tetapi secara sinis, terdapat penulis yang memerikannya sebagai "pemilik kad keahlian Umno yang memohon projek kerajaan".

Puluhan nama dikaitkan dengan MPR. Yang paling sinonim antaranya Faisal Tehrani, Lutfi Ishak dan Shamsudin Othman. Antara lain, disebabkan mereka turut terlibat sebagai pembimbing kohort baru kebelakangan ini.

Kesemua mereka terkenal dalam penulisan cerpen dan sajak.

Selepas 25 tahun, terdapat kritikan yang makin keras terhadap MPR dan alumninya. Dalam keadaan kewangan DBP yang membimbangkan sekarang - setelah peruntukan tahunannya dipotong sebanyak RM30 juta baru-baru ini - difahamkan terdapat suara daripada dalam dewan itu yang mahukan MPR dibatalkan.

Projek ini, antaranya, didakwa tidak mendatangkan pulangan yang berbaloi dengan wang yang dibelanjakan.

Memang program sastera tidak semestinya membawa pulangan ekonomi, tetapi menurut suara-suara itu lagi, khazanah sastera pun tidak bertambah kaya dengan wujudnya program tersebut.

Selain sering dipertikaikan kerana hanya sebahagian kecil daripada kumpulan penulis itu yang terus mengisi persada sastera tanah air, alumni MPR juga sering dikritik kerana kekelompokan dan keeksklusifannya.

Dalam perhimpunan penulis muda kedua di Melaka pertengahan tahun ini, cuit seorang panelis terhadap peranan alumni MPR telah mengundang reaksi penuh emosi kumpulan terbabit - yang menerbitkan jawapan balas penuh pedih:

"(Sasterawan negara pertama) Keris Mas (Kamaluddin Muhamad) masuk MPR?"

Sementara dalam perhimpunan agung sulung alumni MPR di DBP pada 19 September lalu, tanggapan bahawa MPR "perasan bagus" sekali lagi ditimbulkan dalam dalam sesi forumnya, berjudul 'MPR selepas dua dekad'.

Tiga alumni projek penulis muda DBP itu, Khairul Nizam Abd Raub, Raihani Saaid dan Lily Haslinda Nasir - ketiga-tiganya penulis kreatif - diundang memberikan pandangan masing-masing.

Dalam diskusi hampir dua jam itu, sudah tentu tanggapan ini ditolak sebulat suara dengan membariskan nama penulis-penulis muda yang pernah menghadiri program itu.

Bagaimanapun, tanpa disedari, jawapan ketiga-tiga ahli panel itu dengan sendirinya menggambarkan kebenaran terhadap tanggapan-tanggapan tersebut.

Pada tahun 2000, ketika masih berumur 20 tahun, saya sendiri sempat mengikuti program itu di sebuah resort di Kajang, Selangor. Kami diasuh tentang sastera "yang baik dan yang murni".

Tetapi selepas berlalunya sepuluh tahun, itulah program pertama dan terakhir saya dengan MPR. Soalnya, selepas MPR, apakah hubungan penulis dengan MPR? Inilah yang bermain di benak 500 lepasan kursus ini.

Dan sudah tentu mereka ini tidak mahu hanya terus dijemput memenuhkan korum majlis-majlis sastera yang membosankan semata-mata, yang dihadiri dan dirasmikan golongan menteri dan ahli politik.

(Dipetik tanpa sebarang ubahsuai dari laman web Malaysiakini, tulisan Jimadie Shah Othman, 3 Januari 2010, 2:14pm)

Saturday 9 January 2010

Berusaha dan berusaha....

Sedang melawan kantuk tika memamah butir-butir tulisan yang disalin kembali,buat persediaan menghadapi peperiksaan pertengahan semester minggu hadapan. Hari yang penuh penjara diri (memenjarakan diri sebenarnya), melawan dugaan Kinokuniya,MPH, yang semakin galak menggamit-gamit. Cuma bersendirian, tiada nikmat mahu mendapatkan pandangan tentang karya-karya terbaru di pasaran yang bagus untuk dilumati. Ahad pula diseparuhi dengan lawatan ke taman syurga, mengorbankan masa berbaring di tilam empuk kala mentari mahu bersinar. Para rafik sirna entah ke mana menjelang hari minggu. Terima kasih buat peneman, menyisihkan sunyi yang tak malu bertandang (^_^).


Kemilau permata titisan hujan, disambut riang tawa tanih yang menyubur...
Di celahan kemilau itu, gugusan bahagia untukmu menyelinap gembira bersedia menjagamu...
Petiklah bahagia itu, kerana Dia takkan cuma memberimu satu bahagia, bahkan bergugusan bahagia yang bercambah subur....
Sentiasalah bermohon agar bahagia itu tetap menjadi milikmu....

p/s: Puisi ini adalah tugasan tambahan....