Pages

..::Tanah Ini::..

..::Tanah Ini::..

Saturday 7 November 2009

Mahabbah Ketenangan....

Janganlah emosi selalu lara...
Kuatkan diri daripada mudah terasa...
Rajuk diadun sabar dengan penuh mesra...
Cemburu jangan dibiar membarah merata-rata...

Tuesday 3 November 2009

Doa Buat Menakhoda Zaman.....

Allah ya Rahman, murahkanlah rezeki negara kami dalam kilauan zaman.....
Allah ya Rahim, rahmatilah pelayaran kami dalam menggapai zaman idaman......
Allah ya Qawiy, cekalkanlah semangat kami tika menakhoda zaman......
Allah ya Fattah, bukakanlah pintu-pintu hati kami untuk menyertai nakhoda ini dalam iman......
Allah ya Sattar, lindungilah segala kelemahan kami agar “rakyat didahulukan, pencapaian diutamakan” menjadi haruman......
Dengan segala keagunganmu ya Allah, berkatilah dan permudahkanlah segala usaha kami ini, agar ianya bermanfaat untuk agama, bangsa dan Negara, serta menjadi harum ‘bagai bunga kembang setaman’......

Monday 2 November 2009

Jangan......

Jangan biar aku mencetus dendam,
Jangan biar aku meresah gelisah,
Jangan biar aku menghadir sengsara,
Jangan biar aku menghembus kecewa,
Jangan biar aku menanam lara........

esak tangis, gundah jiwa, lara sukma, melarut dalam dada..
andai diharap kasih manusia, pasti punah segala cita..
pintalah pada DIA, kerana DIA punya segala..

untaian kasih padaNYA, segunung cinta buatNYA,
pasti rahmat dariNYA sentiasa bersamamu...

Cinta itu tidak pernah meminta,tetapi memberi sepenuh rela.....

Saturday 24 October 2009

Cinta?

Di celahan fitrah Dia titipkannya,
menyapa mesra rusuk awal kejadian,
bertautan dalam kamar hati….
Aku berteduh di bawah lindungan redup kelopak cinta…...
Desiran keharumannya membuai lena senyuman hati…...
Tusukan durinya melebur sinar gemerlapan,
bisanya memadam lantera kewarasan…
Manisnya melakar pelangi seluas langit dan bumi,
dihirup madunya penuh kenikmatan al-Kausar…...

Friday 23 October 2009

Medik TV

Teringat satu masa dahulu, ketika dokumentari Medik TV masih bersiaran di TV3. Terkenang satu episod yang agak menarik. Saya berkesempatan menonton rancangan MedikTV (ejaan 'Medik' dah dimelayukan) setelah lama tak menontonnya. Rancangan ni bersiaran setiap hari Sabtu jam 5pm di TV3. Rancangan yang amat menarik kerana ianya memaparkan metod-metod perubatan terbaru di Malaysia. Namun siri pada minggu lepas (21 April 2007) memang amat menarik. Kali ini para krew MedikTV telah membawa penonton ke Taiwan, ke sebuah universiti perubatan(nama universiti tak ingat) yang berada di sana untuk meninjau kehidupan dan cara pembelajaran pelajar-pelajar jurusan perubatan di sana. Saya amat tertarik dengan kaedah pembelajaran di sana yang saya fikir mungkin berbeza dengan kaedah pembelajaran perubatan di Malaysia.
Pertamanya, para pelajar perubatan di sana turut mempelajari subjek-subjek sastera(kalau kat sini dipanggil art stream). Mereka belajar seni kaligrafi, alat-alat muzik tradisional, tatacara menjamu tetamu, dan beberapa subjek sastera lagi. Perkara-perkara ini memang kontra dengan pengkhususan mereka, namun pihak pentadbiran mempunyai sebab kukuh dalam menerapkan sastera dalam pembelajaran di sana. Para pelajar di sana mempelajari subjek-subjek berkenaan untuk membentuk kemahiran mereka dalam bidang yang pelbagai, di samping untuk memastikan kemahiran-kemahiran tradisional yang diwarisi sejak turun-temurun tidak hilang ditelan zaman. Mereka juga mampu untuk menggunakan kedua-dua bahagian otak mereka secara optima dan berkesan. (dalam istilah perubatan kan ada otak kanan, otak kiri; jadi mereka mampu gunakan kedua-duanya dengan berkesan). Menarik bukan cara pembelajaran perubatan di sana? Bagi saya, mempelajari sastera ni boleh menjadikan kita seorang yang mendalam pemikirannya dan halus jiwanya.
Keduanya, di sana mereka menggunakan 'silent mentor' dalam ujian anatomi mereka. Alah, yang bedah-bedah mayat tu, untuk belajar pasal organ-organ dan benda-benda dalam badan manusia. Apa dia 'silent mentor' tu? 'silent mentor' tu ialah mayat para penderma yang mendermakan tubuh mereka selepas kematian untuk digunakan dalam pembelajaran perubatan di sana. Kalau di sini kan ada penderma organ, tapi di sana terdapat penderma tubuh selepas mati bagi tujuan kajian untuk pelajar-pelajar perubatan.
Sebelum sesi pembelajaran bermula, diadakan upacara menghormati jasad. Jadi dalam bilik ujikaji tu ada sami yang mengetuai upacara tersebut, diikuti dengan para waris 'silent mentor', para pelajar, dan pensyarah. Hanya setelah upacara selesai, barulah sesi pembelajaran bermula. Pada setiap 'silent mentor' terdapat biodata ringkas tentang si mati. Setiap lima orang pelajar berkongsi satu 'silent mentor'. Para pelajar amat menghormati 'silent mentor' mereka kerana mereka menganggap 'silent mentor' adalah guru mereka yang memberi banyak ilmu tentang anatomi.
Hubungan para pelajar dengan waris-waris 'silent mentor' juga rapat sehingga mereka juga dianggap sebagai ahli keluarga waris, kerana mereka dimestikan meminta kebenaran dan berkenal-kenalan terlebih dahulu dengan para waris sebelum membedah 'silent mentor'. Dari situ hubungan akrab mereka terjalin kukuh. Seusai sahaja 'silent mentor' dibedah, jasad mereka akan disemadikan seperti biasa mengikut adat di sana, dan abu 'silent mentor' akan disimpan di tempat khas di universiti tersebut sebagai tanda penghormatan atas jasa besar mereka.
Selesai sahaja menonton MedikTV, saya terfikir dua perkara tentang kaedah pembelajaran perubatan di sini. Pertama, adakah pembelajaran di sini turut mewujudkan silibus sastera untuk pelajar-pelajar perubatan. Tapi ada juga rakan yang mengatakan, tak sanggup la nak belajar sastera ni sebagai silibus sampingan, sebab teori-teori perubatan pun dah berlambak-lambak nak difahami dan dihafal. Jadi mereka tak ada masa nak cerita hal-hal 'art' ni.
Persoalan lain yang timbul ialah, adakah pembelajaran di sini menerapkan hukum-hukum berkaitan perubatan dalam Islam. Sebabnya, saya belum pernah dengar hukum menderma tubuh selepas kematian. Kalau hukum derma organ tu ada la. Ada banyak lagi kemusykilan baru dalam bidang ni, contohnya menyimpan sel darah tali pusat bayi (tak ingat istilahnya, nak tahu lebih lanjut baca iSihat yang ada muka farawahida kat muka depan), atau sedikit masa dahulu tentang bayi in-vitro.Kalau ada inisiatif ke arah fiqh perubatan, mesti bagus kan untuk rujukan para pelajar jurusan perubatan.
Saya ada bertanya dengan kawan saya, mereka ada mewujudkan apa yang dinamakan 'fiqh medic interest group' dalam membincangkan penyelesaian masalah perubatan dalam Islam. Jika dibukukan dan dipasarkan hasil-hasil perbincangan mereka, pasti dapat mendatangkan manfaat besar dalam masyarakat kita, kerana ramai daripada kita sebenarnya masih kabur dengan masalah-masalah berkaitan perubatan ni dalam Islam, seperti yang saya nyatakan.

Friday 4 September 2009

Moden yang Jahiliah??


Umum mengetahui dan faham makna jahiliah. Menurut Ibn Khalawiah, jahiliah adalah zaman sebelum kedatangan Rasulullah di Tanah Arab. Kalimah jahiliah juga disebut dalam al-Qur’an sebanyak empat kali iaitu ayat 154 Surah Ali Imran, ayat 50 Surah al-Ma’idah, ayat 33 Surah al-Ahzab, dan ayat 26 Surah al-Fath.
Masyarakat jahiliah merupakan masyarakat yang hidup dalam kegelapan. Mereka saling berperang, menipu dalam perniagaan dan pelbagai lagi perkara buruk yang dikaitkan dengan mereka. Namun khalayak semacam terlupa dengan satu perkara penting dalam hayat masyarakat jahiliah yang membawa kesan besar dalam penyebaran Islam ke seluruh sarwajagat ini. Kita sering terlepas pandang bahawa masyarakat jahiliah amat mementingkan dan mengagungkan Bahasa Arab serta mempunyai kehalusan bahasa yang tiada tandingan. Dalam kehidupan jahiliah mereka, lahir ramai penyair yang mempunyai kehalusan bahasa dan keindahan kata-kata dalam syair-syair mereka. Sebagai contoh, syair-syair Umru’ul-Qais, al-Harith bin Halzah, an-Nabighah az-Zibyani, Amru bin Kalthum, dan Labid bin Ra’biah. Kesemua mereka masyhur dengan nama ‘Ashabul-Mu’allaqat’ kerana kehebatan dan kehalusan karya masing-masing.
Kita melihat, sewaktu zaman Arab Jahiliah, para penyair mempunyai kedudukan yang tinggi dalam masyarakat. Para penyair ini boleh dikatakan sebagai sasterawan jika dilihat dalam konteks zaman kini. Walaupun masyarakat Arab ketika itu digambarkan sebagai hidup dalam kegelapan, namun mereka amat menghormati golongan saterawan. Golongan sasterawan Arab Jahiliah selain berperanan sebagai penyair, mereka juga merupakan ketua dan orang kepercayaan di kalangan kaum mereka. Sebagai contoh, Basyar bin Abi Khazim Al-Asadi, penyair Bani Asad, merupakan panglima perang bagi Kaum Asad. Kata-katanya amat mengesankan dan membangkitkan semangat kaumnya semasa peperangan. Nabighah az-Zibyani pula, menjadi orang kepercayaan kepada raja di Ghasasinah (nama sebuah negeri di Tanah Arab ketika zaman Jahiliah).
Menelusuri zaman Jahiliah, terdapat perkara di sebalik kebanggaan masyarakat terhadap para penyair atau sasterawan. Penghargaan mereka terhadap golongan sasterawan menunjukkan mereka amat menghargai Bahasa Arab dan mereka merupakan golongan yang mempunyai ketinggian bahasa yang tidak dapat ditandingi oleh tamadun lain. Ini semua merupakan percaturan Allah dalam mengutuskan Rasul-Nya di kalangan masyarakat Arab. Allah telah menyediakan satu kaum yang amat menghargai Bahasa Arab 100 tahun sebelum kedatangan Nabi Muhammad. Bila datangnya Rasulullah dengan membawa al-Qur’an, masyarakat Arab senang menerima Islam sebagai agama baru mereka kerana mereka mengagumi susunan keindahan bahasa al-Qur’an. Bak kata pepatah, ‘Hanya Jauhari yang Mengenal Manikam’. Begitu juga dengan masyarakat Arab yang mudah menerima Islam, kerana mereka merupakan golongan yang mengetahui Bahasa Arab dan mereka tahu perbezaan ketinggian bahasa al-Qur’an berbanding syair-syair mereka. Mereka mengiktiraf al-Qur’an sebagai kitab agung, sehinggakan mereka berkata, “ini bukan kata-kata manusia, tetapi kata-kata Tuhan Manusia (Allah).
Begitu telitinya perancangan Allah, untuk diambil iktibar oleh hamba-hamba-Nya. Allah telah menyediakan satu kaum yang mempunyai kemahiran Bahasa Arab yang amat tinggi, yang amat menghargai sasterawan dan ahli bahasa, sebelum mengutuskan Nabi Muhammad untuk menyampaikan Islam agar manusia mudah mengiktiraf kerasulannya.
Apa yang boleh kita kaitkan hal mesyarakat Arab Jahiliah dengan keadaan masyarakat kita kini?
Adakah kita tidak merasa masyarakat kini boleh disamakan dengan masyarakat jahiliah? Atau untuk tidak terlampau keterlaluan bunyinya, hampir menjadi jahiliah? Saban hari kita dihidangkan dengan berita-berita keganasan di mana-mana. Pembunuhan, penzinaan, rasuah, penipuan dan jenayah-jenayah lain, menjadi seperti kelaziman dalam masyarakat. Kita melihat, kehidupan masyarakat jahiliah juga dipenuhi dengan perkara-perkara yang mengejikan. Justeru, setarafkah kita dengan jahiliah?

Thursday 3 September 2009

Menginsafi Ramadan

Assalamu’alaikum……

Wahai tetamu Ramadan
Untukmu rahmah dan maghfirah
Airmata taubat
Dendangan tadarus
Selimut terawih
Bantal tahajud
Moga mewarisi jannah
Selamat berpesta ibadah
Laksanakan seikhlasnya

Dua tiga kucing berlari,
Mana nak sama si kucing siam,
Reda Allah mesti dicari,
Lazimi diri dengan qiam.

Tersusun kemas bunga di jambangan,
Mentari senja nian indahnya,
Buah tamar dilupa jangan,
Agar berbukamu bertambah berkatnya.

Terbang camar menuju selatan,
Melepas lelah di pohon kelapa,
Sebelum tamar jadi santapan,
Kata Bismillah jangan dilupa.

Naik sampan pergi ke pekan,
Jual rambutan di Pekan Sari,
Malam Ramadan mari hidupkan,
Untuk kekuatan di siang hari.

Kalau berduka kelat wajahnya,
Masa sihat nampaklah hebat,
Kalau berbuka tepat waktunya,
Masa solat janganlah lambat.

Kicau burung nyaring bunyinya,
Membangun insan menyeri harapan,
Al-Qur’an turun pada malamnya,
Petunjuk Tuhan untuk kehidupan.

Tinggi melangit pohon meranti,
Dari jauh tampak gagahnya,
Akhir Ramadan al-Qadar menanti,
Rebutlah ia dengan sebaiknya.

Terbang kelicap hinggap di dahan,
Berbulu cantik kemas tampuknya,
Jadikan Ramadan medan latihan,
Untuk menambah taat padaNya.

Thursday 9 July 2009

Katakan Tidak.....

قولوا لا 

قولوا لا للكَسَلِ 

قولوا لا للجَهَلِ 

قولوا لا للفَشَلِ 

قولوا لا 


مَن يَرْضَ بِالهَوَى 

يَعِشْ دَوْماً في الظَلاَمِ 

لن تَنَالُوا عِزَّةً 

ما دُمْتُمْ راضِينَ بالسَّفَهِ والعِصْيَانِ 


قولوا لا للكسل 

قولوا لا للجهل 

قولوا لا للفشل 

قولوا لا 


هَيَّا بِاجْتِهَادِ وجِهَادِ 

لِتَحْقِيقِ الآمَالِ 

وهيَّا بِالإيْمَانِ 

نَمْشِي كُلَّ زَمَانٍ 

Katakan Tidak kepada Kebodohan 

Katakan Tidak kepada Kejahilan 

Katakan Tidak kepada Kegagalan 

Katakan Tidak….. 

Siapa yang Redha dengan Hawa Nafsu 

Hidup Sentiasa dalam Kegelapan 

Kamu Tidak akan dapat kemuliaan 

Selagi mana kamu redha dengan kebodohan dan kemaksiatan 

Katakan Tidak kepada Kebodohan 

Katakan Tidak kepada Kejahilan 

Katakan Tidak kepada Kegagalan 

Katakan Tidak….. 

Marilah kepada Kesungguhan dan Jihad 

Untuk merealisasikan cita-cita 

Dan marilah ke arah keimanan 

Kekal setiap zaman 


Tuesday 7 July 2009

Sejenak di ITNM.......

Mengambil kesempatan sebentar melepaskan lelah tika bekerja dalam suasana dingin kamar yang menembusi sum-sum. Cuma tinggal dua minggu untuk menamatkan permukiman di ITNM (Institut Terjemahan Negara Malaysia), setelah menjadi warga ITNM hampir tiga bulan lamanya. Pelbagai kenangan yang disimpan dalam diari kehidupan, tentang suasana kerja, tekanan kerja, menyiapkan tugasan dalam masa yang ditetapkan, bertemu rakan-rakan (atau lebih tepatnya senior-senior) sekerja yang baru.
Selepas ini, kembali menyambung perjuangan dalam menggapai bintang impian dan cita-cita, kembali bertamu di kelas-kelas kuliah, untuk menimba ilmu yang tak pernah kehabisan, dan kehidupan seorang pelajar universiti juga akan kembali normal seperti biasa. 

Thursday 11 June 2009

Berehat Sebentar

Berehat Sebentar, melepaskan diri daripada kelelahan, menenangkan minda yang keletihan.....