Setiap tahun, bermula 1985, Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) menaja 30 orang remaja dari seluruh negara yang dianggap berbakat dalam dunia penulisan.
Antara mereka, pemenang Hadiah Sastera Siswa (HSS) – kini ditamatkan – dan penyumbang di majalah Dewan Siswa.
Setelah diasuh dalam program intensif selama seminggu, setelah dibedah karya masing-masing, kumpulan ini diberi peluang menyumbang dalam antologi cerpen dan sajak yang akan diterbitkan DBP.
Walaupun hadir berkursus hanya selama seminggu, alumni MPR ini dianggap sebagai "anak emas di kolam kencana" agensi bawah Kementerian Pelajaran itu.
Tidak pasti apakah sebenarnya kelebihan bergelar alumni program tersebut, tetapi secara sinis, terdapat penulis yang memerikannya sebagai "pemilik kad keahlian Umno yang memohon projek kerajaan".
Puluhan nama dikaitkan dengan MPR. Yang paling sinonim antaranya Faisal Tehrani, Lutfi Ishak dan Shamsudin Othman. Antara lain, disebabkan mereka turut terlibat sebagai pembimbing kohort baru kebelakangan ini.
Kesemua mereka terkenal dalam penulisan cerpen dan sajak.
Selepas 25 tahun, terdapat kritikan yang makin keras terhadap MPR dan alumninya. Dalam keadaan kewangan DBP yang membimbangkan sekarang - setelah peruntukan tahunannya dipotong sebanyak RM30 juta baru-baru ini - difahamkan terdapat suara daripada dalam dewan itu yang mahukan MPR dibatalkan.
Projek ini, antaranya, didakwa tidak mendatangkan pulangan yang berbaloi dengan wang yang dibelanjakan.
Memang program sastera tidak semestinya membawa pulangan ekonomi, tetapi menurut suara-suara itu lagi, khazanah sastera pun tidak bertambah kaya dengan wujudnya program tersebut.
Selain sering dipertikaikan kerana hanya sebahagian kecil daripada kumpulan penulis itu yang terus mengisi persada sastera tanah air, alumni MPR juga sering dikritik kerana kekelompokan dan keeksklusifannya.
Dalam perhimpunan penulis muda kedua di Melaka pertengahan tahun ini, cuit seorang panelis terhadap peranan alumni MPR telah mengundang reaksi penuh emosi kumpulan terbabit - yang menerbitkan jawapan balas penuh pedih:
"(Sasterawan negara pertama) Keris Mas (Kamaluddin Muhamad) masuk MPR?"
Sementara dalam perhimpunan agung sulung alumni MPR di DBP pada 19 September lalu, tanggapan bahawa MPR "perasan bagus" sekali lagi ditimbulkan dalam dalam sesi forumnya, berjudul 'MPR selepas dua dekad'.
Tiga alumni projek penulis muda DBP itu, Khairul Nizam Abd Raub, Raihani Saaid dan Lily Haslinda Nasir - ketiga-tiganya penulis kreatif - diundang memberikan pandangan masing-masing.
Dalam diskusi hampir dua jam itu, sudah tentu tanggapan ini ditolak sebulat suara dengan membariskan nama penulis-penulis muda yang pernah menghadiri program itu.
Bagaimanapun, tanpa disedari, jawapan ketiga-tiga ahli panel itu dengan sendirinya menggambarkan kebenaran terhadap tanggapan-tanggapan tersebut.
Pada tahun 2000, ketika masih berumur 20 tahun, saya sendiri sempat mengikuti program itu di sebuah resort di Kajang, Selangor. Kami diasuh tentang sastera "yang baik dan yang murni".
Tetapi selepas berlalunya sepuluh tahun, itulah program pertama dan terakhir saya dengan MPR. Soalnya, selepas MPR, apakah hubungan penulis dengan MPR? Inilah yang bermain di benak 500 lepasan kursus ini.
Dan sudah tentu mereka ini tidak mahu hanya terus dijemput memenuhkan korum majlis-majlis sastera yang membosankan semata-mata, yang dihadiri dan dirasmikan golongan menteri dan ahli politik.
(Dipetik tanpa sebarang ubahsuai dari laman web Malaysiakini, tulisan Jimadie Shah Othman, 3 Januari 2010, 2:14pm)
No comments:
Post a Comment