Pages

..::Tanah Ini::..

..::Tanah Ini::..

Friday, 4 September 2009

Moden yang Jahiliah??


Umum mengetahui dan faham makna jahiliah. Menurut Ibn Khalawiah, jahiliah adalah zaman sebelum kedatangan Rasulullah di Tanah Arab. Kalimah jahiliah juga disebut dalam al-Qur’an sebanyak empat kali iaitu ayat 154 Surah Ali Imran, ayat 50 Surah al-Ma’idah, ayat 33 Surah al-Ahzab, dan ayat 26 Surah al-Fath.
Masyarakat jahiliah merupakan masyarakat yang hidup dalam kegelapan. Mereka saling berperang, menipu dalam perniagaan dan pelbagai lagi perkara buruk yang dikaitkan dengan mereka. Namun khalayak semacam terlupa dengan satu perkara penting dalam hayat masyarakat jahiliah yang membawa kesan besar dalam penyebaran Islam ke seluruh sarwajagat ini. Kita sering terlepas pandang bahawa masyarakat jahiliah amat mementingkan dan mengagungkan Bahasa Arab serta mempunyai kehalusan bahasa yang tiada tandingan. Dalam kehidupan jahiliah mereka, lahir ramai penyair yang mempunyai kehalusan bahasa dan keindahan kata-kata dalam syair-syair mereka. Sebagai contoh, syair-syair Umru’ul-Qais, al-Harith bin Halzah, an-Nabighah az-Zibyani, Amru bin Kalthum, dan Labid bin Ra’biah. Kesemua mereka masyhur dengan nama ‘Ashabul-Mu’allaqat’ kerana kehebatan dan kehalusan karya masing-masing.
Kita melihat, sewaktu zaman Arab Jahiliah, para penyair mempunyai kedudukan yang tinggi dalam masyarakat. Para penyair ini boleh dikatakan sebagai sasterawan jika dilihat dalam konteks zaman kini. Walaupun masyarakat Arab ketika itu digambarkan sebagai hidup dalam kegelapan, namun mereka amat menghormati golongan saterawan. Golongan sasterawan Arab Jahiliah selain berperanan sebagai penyair, mereka juga merupakan ketua dan orang kepercayaan di kalangan kaum mereka. Sebagai contoh, Basyar bin Abi Khazim Al-Asadi, penyair Bani Asad, merupakan panglima perang bagi Kaum Asad. Kata-katanya amat mengesankan dan membangkitkan semangat kaumnya semasa peperangan. Nabighah az-Zibyani pula, menjadi orang kepercayaan kepada raja di Ghasasinah (nama sebuah negeri di Tanah Arab ketika zaman Jahiliah).
Menelusuri zaman Jahiliah, terdapat perkara di sebalik kebanggaan masyarakat terhadap para penyair atau sasterawan. Penghargaan mereka terhadap golongan sasterawan menunjukkan mereka amat menghargai Bahasa Arab dan mereka merupakan golongan yang mempunyai ketinggian bahasa yang tidak dapat ditandingi oleh tamadun lain. Ini semua merupakan percaturan Allah dalam mengutuskan Rasul-Nya di kalangan masyarakat Arab. Allah telah menyediakan satu kaum yang amat menghargai Bahasa Arab 100 tahun sebelum kedatangan Nabi Muhammad. Bila datangnya Rasulullah dengan membawa al-Qur’an, masyarakat Arab senang menerima Islam sebagai agama baru mereka kerana mereka mengagumi susunan keindahan bahasa al-Qur’an. Bak kata pepatah, ‘Hanya Jauhari yang Mengenal Manikam’. Begitu juga dengan masyarakat Arab yang mudah menerima Islam, kerana mereka merupakan golongan yang mengetahui Bahasa Arab dan mereka tahu perbezaan ketinggian bahasa al-Qur’an berbanding syair-syair mereka. Mereka mengiktiraf al-Qur’an sebagai kitab agung, sehinggakan mereka berkata, “ini bukan kata-kata manusia, tetapi kata-kata Tuhan Manusia (Allah).
Begitu telitinya perancangan Allah, untuk diambil iktibar oleh hamba-hamba-Nya. Allah telah menyediakan satu kaum yang mempunyai kemahiran Bahasa Arab yang amat tinggi, yang amat menghargai sasterawan dan ahli bahasa, sebelum mengutuskan Nabi Muhammad untuk menyampaikan Islam agar manusia mudah mengiktiraf kerasulannya.
Apa yang boleh kita kaitkan hal mesyarakat Arab Jahiliah dengan keadaan masyarakat kita kini?
Adakah kita tidak merasa masyarakat kini boleh disamakan dengan masyarakat jahiliah? Atau untuk tidak terlampau keterlaluan bunyinya, hampir menjadi jahiliah? Saban hari kita dihidangkan dengan berita-berita keganasan di mana-mana. Pembunuhan, penzinaan, rasuah, penipuan dan jenayah-jenayah lain, menjadi seperti kelaziman dalam masyarakat. Kita melihat, kehidupan masyarakat jahiliah juga dipenuhi dengan perkara-perkara yang mengejikan. Justeru, setarafkah kita dengan jahiliah?

No comments:

Post a Comment