Pages

..::Tanah Ini::..

..::Tanah Ini::..

Saturday, 14 August 2010

Cinta Hatiku, Cahaya Hidupku....

Khusyuk membelek-belek majalah Solusi,mencari bahan buat bahan tambahan pengajaran dan pembelajaran anak-anak didik. Mahu diajar silibus,masing-masing sudah bermuka masam,bosan katanya.
Terus membelek,banyak pula hadis Rasul yang dimamah oleh mata dan dicerna oleh otak. Dalam diam,terfikir sesuatu yang sangat menyentuh rasa...
Oh,alangkah bahagianya kehidupan zaman Rasul,hidup bersama Rasul....segala permasalahan dirujuk terus kepada Nabi.Jawapan lengkap,jelas,bersyariat,dan tanpa keraguan diterima dengan penuh bulat hati.Rasul dan para sahabat jarak cuma sekangkang kera,bak kata pepatah Melayu,dek kerana dekatnya Muslim zaman nubuwwah dengan Rasulullah.Para sahabat sangat bahagia,hidup penuh syariat,jawapan-jawapan agama dapat diselesaikan dengan kalam Rasul yang mulia;bila melakukan kesalahan,Rasul menegur dengan penuh hikmah.....
Namun,bila Rasul wafat,gelita hidup para sahabat,sehingggakan Umar tak dapat menerima kenyataan kewafatan Kekasih Allah.Namun Abu Bakar,dengan penuh kebijaksanaan dan ketenangannya,meleraikan gundah di hati para Muslimin dan Umar.
Fikiran terus menjalar jauh,alangkah bahagianya jika aku dapat hidup bersama Rasul,penuh barakah,penuh hikmah,penuh pengibadatan,jauh daripada kemaksiatan dan kekotoran jiwa...
Aku mahukan hidup itu,aku mahukan segalanya abadi,damai,tenang,menghadap wajah mulia Kekasih Allah....
Allah,rezekikan aku untuk mengakhiri hidup di bumi kekasih-Mu,barzakhku di sisi jasad Penghulu Nabi......

Saturday, 31 July 2010

Hari-hari mendatang.......


Kau lahir, dipelihara sebaiknya...
Kau membesar, dipantau segalanya...
Kau ke tadika (baca:TASKI ABIM), kau mula belajar secara formal...
Kau ke sekolah rendah, duniamu semakin meluas dengan teman-teman sekampung...
Kau meraih keputusan UPSR di tanganmu, kau tahu kau menghampakan sekolah dan ibu ayah...
Kau meneruskan persekolahan menengah rendah, kau bertemu suasana baru, namun sangat selesa dan terkenal dek kerana menumpang status ibumu...
Kau menggenggam sijil PMR, kau tahu itu pencapaian kau dan terus berharap untuk ke cita-cita menengah tinggimu...
Kau di menengah tinggi, tertekan dengan pelbagai karenah diri sendiri dan manusia sekeliling...namun untuk berundur tidak akan sesekali...
Kau melihat slip SPM yang coret hurufnya berbeza-beza, kau pasrah untuk memuncak ke lapangan mahasiswa...
Kau menjadi warga universiti, hidup semakin bercabang...kau raih, kau kehilangan, kau mendapat, kau belajar....
Kau tamatkan alam sang penuntut, kau mula berfikir depanmu...
Kanan dugaan, kiri cubaan, depan ujian, belakang tribulasi...
Namun kau perlu faham ini, "ketentuan itu kerja Tuhanmu, kau hanya mampu berusaha dan bertawakal, natijah dan pangakhirannya adalah Tuhanmu penentu"
Kau perlu tanam ini dalam atma, "duniaku ini cuma ladang untuk kehidupan abadi di akhirat kelak, ladang ini pra-bekalan untuk mengharungi hidup gelap sempitmu di alam tanah pabila Tuhanmu mengembalikanmu ke sisi-Nya".

Saturday, 24 April 2010

Positif? Negatif?

Kejohanan debat antara sekolah-sekolah anjuran UIAM baru sahaja berlalu. Tahun ni kali pertama kategori bahasa Arab dipertandingkan. Namun masalah demi masalah timbul, macam-macam hal yang boleh dipersoalkan. Dikatakan UIAM telah berpengalaman menganjurkan kejohanan debat bahasa Arab banyak kali, namun kesilapan-kesilapan 'pandai' tetap juga berlaku. Perkara-perkara penting diremehkan, urusan-urusan kecil dibesarkan, hal-hal utama diketepikan, bilalah lagi nak berubah menjadi ke arah lebih baik. Berurusan biarlah berprotokol, bertatacara, bukan hentam keromo. Undang-undang yang bertulis, punya hitam putih, perlulah diikuti dan dipraktikkan. Terbukalah dengan teguran yang membina. Orang menegur dengan bertatacara, kita terima dengan hati terbuka. Begitulah juga bila kita menegur orang lain. Tak salahkan mencontohi pengurusan debat bahasa Melayu misalnya, yang nampak profesional. Tak dinafikan setiap perkara punya kelemahan, namun ianya boleh diperbetulkan, agar sempurna, dan tidak menjadi buah mulut di mana-mana, hatta di luar kawasan UIAM sendiri. Apa-apapun, biarlah DIA sahaja yang menilai segala niat kita.

Thursday, 8 April 2010

Bersabar dan bersabar.......

Mahu menulis lanjut,tapi minda sudah keletihan dengan kerja-kerja yang tak siap-siap...


Nikmat dan ujian, medan menguji kelazatan hidupmu..
Redakah kau dengan ujian……..
Syukurkah kau dengan nikmat……
Senyuman di kala sukar, tanda tabah dan sabar menempuh dugaan…
Senyuman di kala gembira, tanda syukur dengan Rahmat-Nya…

Thursday, 18 March 2010

Kerja Oh Kerja.......

Semester sudah tiba di penghujungnya, peperiksaan akhir semester juga akan kunjung tiba, maka bermulalah saat untuk kembali membuka nota yang sering terbiar begitu sahaja...
Oh, dapat pula kerja penterjemahan dari Dr. Rahmah, mahu diselesaikan pertengahan April depan...mahu tak mahu kena dibahagi dengan rakan-rakan lain, agar cepat dan mudah kerja. Mustahil rasanya untuk melakukannya sendirian, mungkin akan mengambil masa yang lama....
Maka, bertempurlah untuk kerja penterjemahan dan mangulangkaji subjek-subjek yang hanya empat sahaja. Itu pun tetap malas juga.
Positifnya, ini ialah salah satu latihan untuk menghadapi dunia pekerjaan yang lebih mencabar. Kena membahagi masa, buat kerja yang banyak dalam satu-satu masa, mengejar 'dateline', mesyuarat sana sini, 'outstation' sana sini..... Tak terbayang bagaimana kesibukan alam kerja kelak. Ditambah pula bila sudah berkeluarga, makin singkatlah masa berbanding tugasan. Bak kata Imam Malik, "al-waajibaat aktharu min al-awqaat" (kewajipan/kerja itu lebih banyak dari waktu). Maka kenalah susun sebaik-baiknya.... Tak lupa juga untuk beramal ibadah, walaupun banyak tugasan. Kerja kena bersungguh-sungguh, ibadat pun kena istiqamah. Meminjam kata-kata Saidina Umar, "bekerjalah kamu seolah-olah kamu akan hidup seribu tahun lagi, dan beramallah kamu seolah-olah kamu akan mati esok hari".
Berkerja pun ibadah juga kan. Jadi, sambil berkerja tu, niatkanlah untuk ibadah. Pahala dapat, senang dapat, duit pun 'masyuk', maka keberkatan akan datang mendampingi kita.
Berkerja itu ibadat, niatkan untuk akhirat, nescaya dunia juga kita akan dapat.

Friday, 12 March 2010

Buatmu Permata Keluarga.....

Tahniah buat dirimu, daripada seorang abang yang bangga punya adik sepertimu. Hiasilah kejayaan ini dengan kesyukuran kepadaNya dan doa agar masa depanmu dipermudahkan. Kau telah memecahkan kejayaan abang-abangmu dengan hasil itu. Semoga setiap permata keluarga ini berjaya menjadi insan, membalas semula jasa ayah dan ummi yang tak terkira berkorban untuk permata-permata keluarga ini. Jadilah kita pendorong buat adik-adik yang juga sedang berjuang, sedang berdikit-dikit meniti kedewasaan. Jutaan tahniah daripadaku....

Tuesday, 12 January 2010

Aduhai Panggilan Rezeki.....



(Gambar-gambar ini diambil pada jam 6.57 pagi dari tingkap kamar)


Aduh, pagi ini terlambat menunaikan kewajiban yang memang wajib dilakukan setiap hari sepanjang hayat. Adakah akibat mata ini yang degil tak mahu lelap awal? Duhai mata,lepas ini kena beradu awal....
Tersedar sahaja,terus bergegas-gegas menyucikan diri. Usai sahaja membuka hari, tertarik pula dengan rembulan sabit (purnama sedang menyendiri tanpa mahu dilihat oleh sang perindunya) dan gumpalan awan yang berbentuk. Tangan terus ringan mendetikkan bunyi kamera.
Aduh, mata ini sekali lagi memesrai kantuk, hilang kudrat mahu menyahut panggilan rezeki..... Namun panggilan itu hanya didengari dalam mimpi hening pagi sahaja akhirnya. Selamat tinggal panggilan rezeki 12 Januari 2010..... Titik.