Pages

..::Tanah Ini::..

..::Tanah Ini::..

Thursday 22 March 2012

Semakin Mendekat, Semakin Meriah

Relatif masa semakin segera bergerak, namun kita masih bertatih-tatih meladeni masa. Lalai sungguh, dikhayali dengan kerehatan terlalu banyak, perkara tak bermanfaat, dan segala yang tidak berkaitan dengan kesungguhan hidup.

Aku juga, semakin mendekat detik itu, semakin pula dimesrai dengan pelbagai tugasan, semakin meriah kerjabuat mengulitiku. Ya, positifnya, barangkali melatih diri agar lebih bersedia untuk menjalankan tugasan lebih besar, tugasan membina umat dan tamadun.

Kata orang Jawa, seng alon-alon men kelakon. Betul tu. Biarlah perlahan-lahan, satu-persatu, pasti akan siap juga. Kalau berkelam-kabut, satu pun tak akan jadi apa. 

Allah kan bersama dengan orang yang sabar. Begitu bukan janji-Nya?

Hasil Kesabaran dan 'Alon-alon'. Kenangan menjuarai Debat Diraja 2007 di UiTM Shah Alam

Tuesday 14 February 2012

Malam,apabila ia berlabuh....

Malam, pelbagai cerita padanya. Tak kurang hebatnya seperti siang. Malamlah waktu merempit, malamlah waktu berniaga burger, malamlah waktu mengeteh di restoran mamak 24 jam. Bila siang sibuk bekerja, maka malam menjadi waktu melepas lelah, melepas geram daripada siang hari. Sepatutnya malam menjadi tika untuk berehat, kerana siang esoknya mahu bekerja seperti biasa. Namun bila malam pun dah di'bantai' buat kerja lain, maka semakin kuranglah waktu untuk berehat.....

Malam juga hening yang sesuai untuk berjiwang-jiwang kata orang. Bila berjiwang sahaja, maka dikatakan, "Apalah, jiwang, lemah jiwa dan minda betullah...cubalah fikir masalah umat". Namun, adakah bila bersunyi-sunyi itu bermaksud jiwang tak menentu? Mungkin juga sedang bermuhasabah, mungkin juga sedang mengingati insan yang tersayang untuk didoakan kebahagiaan dan kebaikannya, mungkin juga sedang merancang perancangan esok hari, atau mungkin juga sedang berfikir membina keyakinan dalam diri. 

Lihat, bukan negatif urusan 'jiwang-jiwang' ni, asal sahaja niat benar, cara betul, dan disertai dengan doa serta tawakal yang tak pernah putus. Sesiapa yang memandang serong perbuatan 'berjiwang' tu, mungkin dia kurang menghargai apa itu perasaan, apa itu harapan, apa itu mendoakan seseorang. Berjiwanglah, untuk menenangkan dirimu, dan mendekatkan dirimu dengan perlahan-lahan diam memikirkan kebesaran-Nya. 

Allah menjelaskan lewat firman-Nya, dalam Surah An-Naba', ayat 10-11: "Dan Kami telah menjadikan malam (dengan gelapnya) sebagai pakaian (yang melindungi); Dan Kami telah menjadikan siang (dengan cahaya terangnya) masa untuk mencari rezeki"
Berjamaah menemani ayah mencari rezeki di kebun kelapa sawit, satu masa dahulu...


Malam tika untuk berehat di Taif...


Friday 20 January 2012

Berubah dan berubah

Pertama, nama Institut Terjemahan Negara Malaysia (ITNM) telah berubah menjadi Institut Terjemahan Buku Malaysia (ITBM). Maka, fungsinya juga telah diperluas untuk membolehkan ITBM menerbitkan karya-karya asli, bukan sahaja setakat menerbitkan karya-karya terjemahan. Namun, aku tidak begitu terasa perubahan dari segi bidang kerja, kerana aku ditempatkan di bahagian unit dokumen, bukan unit buku. Walaupun begitu, setiap pekerja sebenarnya menjadi penyumbang dalam kelestarian setiap organisasi, tanpa ada terkecuali seorang pun.

Kedua, unitku telah dipindahkan ke tingkat yang berbeza, dengan segala kemudahan baharu dan suasana kerja baharu. Staf sahaja yang tidak baharu.hihi. Mudah-mudahan ianya menjadi motivasi untuk bergerak lebih maju dan memberi dengan lebih berkesan. Walau apa pun, niat mestilah sentiasa untuk ibadah, agar setiap saat yang kita lalui di tempat kerja, semuanya berpahala.

Panorama dari tingkat yang menempatkan bahagian sumber manusia (difoto pada 2009)