Pages

..::Tanah Ini::..

..::Tanah Ini::..

Friday 30 December 2011

Selamat Maju Jaya

30 Disember 2011, haru Jumaat yang penuh keberkatan, merupakan hari terakhir buat En Razin bin Abdul Rahman (bukan abang saya ya), Pengurus Kanan Jabatan Terjemahan dan Penerbitan, ITNM, bertugas. Selepas ini beliau akan bertugas di Kota Buku. Terima kasih buat En Razin atas segala tunjuk ajar dan ilmu yang dikongsikan. Semoga En Razin terus dalam rahmat-Nya walau di mana juga beliau berada.
Gambar kenangan bersama En Razin pada hari terakhir kami berlatihan amali pada Julai 2009

Thursday 29 December 2011

Dua Khabar

Dua khabar dan cerita gembira. Alhamdulillah, usai sudah dua urusan, walau kelihatan sukar dan cabarannya banyak, namun dengan keyakinan yang ditanamkan, ianya mampu diatasi, dan diterima dua khabar dengan gembira. Pencapaian yang membanggakan buat dua diri. Mudah-mudahan segala urusan kebaikan selepas ini juga dipermudahkan oleh-Nya. Tanamkan yakin dalam diri, usaha, tawakal, dan doa, pasti urusanmu dibantu, dengan bantuan yang tak dijangka dan situasi yang menyelesakan. Allah meyakinkan kita dalam firman-Nya, Surah Al-Insyirah, tentang kesenangan setelah kepayahan, ayat 5, "Oleh itu, maka (tetapkanlah kepercayaanmu) bahawa sesungguhnya tiap-tiap kesukaran disertai kemudahan".

Institut Memandu Manducekap HiTech, Seksyen 25, Shah Alam

FBMK UPM

Wednesday 21 December 2011

Kaca....

Mata yang berkaca-kaca,
Tidak bererti tanda kelemahan, tanda putus harapan, tanda kegundahan......


Mata yang berkaca-kaca,
Hakikatnya ingin memunculkan sebuah kekuatan,
Pada kelam yang menyepikan, di celah-celahnya sinar mentari berkaca-kaca menyelusup menembusi gemawan......


Mata yang berkaca-kaca,
Ya, keazaman takkan pernah pudar, rasa tak akan pernah hilang sinar......


Mata yang berkaca-kaca,
Di sebaliknya itu, kerdipan permata hadir......

Hijau kebiruan simbolik keindahan permata...... Dikau tetap Permataku

Tuesday 20 December 2011

Sepetang Menelusuri Sebuah Pengajaran

19 Disember 2011, usai segala urusan penting, bermenung seketika mencari semangat. Maka berpapasan dengan khalayak meninjau-ninjau suasana pasar malam Seksyen 18 Shah Alam, melihat-lihat apa yang menarik dan 'the bomb'. Wah, hujan tiba-tiba menggerutus, mujur sentiasa mempraktikkan 'sediakan payung sebelum hujan'. Menyambung perjalanan meninjau-ninjau. Eh, tiba-tiba ketemu nasi ambang (baca: ambeng). Tapi ringkas sahaja, tanpa tempeyek, sayur campur. Ada pilihan lauk keli goreng, ayam masak kicap, telur gorang, dan ayam masak cili padi (eh resepi asli nasi ambeng tak ada masak cili padi la). Sepadanlah dengan harganya, kalau lengkap semua, harga mahal, tak laku pula (kata makcik penjual nasi ambeng). Maka, nasi ambeng lauk ayam masak kicap jadi pilihan dengan berulamkan tongkeng ayam bakar (satu menu yang langsung tidak menyihatkan! sila jangan ikut).

Dengan berpayung, meredah hujan yang mesra-mesra lebat, sambil memerhati gerai-gerai yang ada, mencetuskan satu cetusan yang tercetus secara tiba-tiba tanpa dirancang cetusan itu. Dalam perspektif ekonomi, pasar malam ini telah menjadi satu alat atau mekanisma untuk perkembangan kewangan dan ekonomi masyarakat Melayu. Kebiasaannya, usahawan Melayu tidak mampu menyewa premis yang tinggi sewanya. Maka, cara termudah untuk mengembangkan ekonomi ialah melalui berniaga pasar malam. Cuba lihat di mana-mana pasar malam, majoriti peniaganya merupakan masyarakat Melayu (dan juga pelanggannya). Walau kelihatan biasa-biasa sahaja, dengan premis perniagaan yang hanya berkanvas, di tepi jalan, namun tetap diminati oleh masyarakat, kerana jiwa pasar malam itu yang dekat dengan masyarakat dan tidak terlalu ekslusif. Sering juga warga profesional yang bertali leher, baju kemas, berkasut kulit Buaya (baca: Crocodile), berjalan di pasar malam mencari makanan atau apa-apa sahaja. Sering juga, makanan yang terkenal, yang menjadi rebutan masyarakat, yang disebut-sebut keenakannya, yang terpaksa beratur panjang untuk membelinya, juga premisnya di pasar malam. Sekadar contoh, nasi kukus ayam dara itu, murtabak ini, dan apa-apa juga jenis makanan. Pasar malam menjadi satu simbolik kemasyarakatan dalam warna kemajuan dan kemandirian ekonomi negara.

Namun dalam mengejar rezeki dunia, alangkah baiknya jika saham akhirat juga tidak diabaikan. Jarang terlihat para peniaga yang berhenti sebentar untuk bersolat, terutamanya ketika Maghrib menjelang. Pernah terlihat seorang dua sahaja peniaga yang bersolat apabila masuk waktu. (Melihat melalui pengalaman, berjalan di pasar malam tika azan Maghrib, namun itu dulu ya, sekarang tidak diamalkan lagi). Cuba berbaik sangka bahawa mereka solat lambat, menunggu pelanggan reda (tapi macam tak surut juga). Jika benar bersolat, walau lambat, alhamdulillah....... Namun jika tidak, maka perbaikilah, semoga rezeki dunia seiring dengan rezeki akhirat, penuh keberkatannya. 

Seruan berjaya di dunia dan juga di akhirat ini tersebut dalam Firman-Nya dalam Surah Al-Jumu'ah ayat 10: "Kemudian setelah selesai sembahyang, maka bertebaranlah kamu di muka bumi, dan carilah apa yang kamu hajati dari limpah kurnia Allah, serta ingatkanlah akan Allah banyak-banyak (dalam segala keadaan), supaya kamu berjaya di dunia dan di akhirat". Ini bermakna, Allah tidak pernah menghalang kita daripada mencari rezeki dunia, namun mestilah berimbang. Dalam Surah yang sama, ayat 11, Allah juga mengingatkan, "Dan apabila mereka melihat barang-barang dagangan atau (mendengar) sesuatu hiburan, mereka lalu pergi kepadanya dengan meninggalkan engkau berdiri. Katakanlah: Apa yang ada di sisi Allah, lebih baik dari hiburan dan barang-barang dagangan itu; dan Allah sebaik-baik pemberi rezeki". Maka, ayuh kita berusaha mencari rezeki dunia seiring dengannya rezeki akhirat, agar kita kelak tidak kerugian di sana.

Ini rupa nasi ambeng. Nasi ambeng ringkas yang dibeli semalam tak dikamerakan, maklumlah dah lapar sangat, lupa nak digambar.

Tuesday 6 December 2011

Ceritera

Ceritera aku.....
Ceritera kamu....
Ceritera mereka.....
Rencamnya pelbagai, plot dan skrip yang ketara berbeza....
Ceritaku begini, ceritamu begitu, cerita mereka begitu dan begini.....
Dalam perbezaan, tiba satu titik untuk beriringan, bersama mula mencipta ceritera kita semua......
Ceritera untuk kita berdua utamanya....
Ceritera mereka menguatkan ceritera kita berdua.....
Ceritera semua kekal takkan sirna.....
Bumi ini mencipta ceriteraku, ceriteranya dan memasadepankan ceritera kami

ceritera kita di sini mula mengalunkan rasa

pentas yang kita kongsi dalam peredaran zaman yang berbeza yang mencipta ceritera kejayaan berbeza