Pages

..::Tanah Ini::..

..::Tanah Ini::..

Wednesday 1 December 2010

Tempat Jatuh Lagikan Dikenang (1)

Kisah yang mahu dihikayatkan bermula dari zaman pendidikan awalku. Aku dahulu bertadika di TASKI Al-Firdaus, Jalan Masjid Baroh, Tanjong Karang. Pergi taski bersama ummi ayah pagi-pagi lagi. Mereka mengajar di Tanjong Karang, maka aku dibawa bersama. Selalunya akulah orang pertama tiba (kira-kira jam 6.50 pagi,awal tu….). Pintu taski pun belum berbuka (sesi bermula 8 pagi). Maka tercongoklah aku menanti ustazah tiba (maaf sudah lupa gerangan nama ustazah). Belajar bermacam-macam perkara dan subjek baru, dan setiap hari sebelum bermula sesi pembelajaran, kami kena menyanyi beberapa buah nasyid (masih lagi mengingati sebuah nasyid sehingga kini). Taski sewaktu itu tiada gelongsor, taman permainan mini seperti TADIKA KEMAS. Menjelang rehat sahaja, atau waktu bermain, kami hanya bermain dengan blok-blok kayu semacam dadu, disusun-susun seenak hati. Menjelang pulang, sementara menunggu ibu bapa masing-masing datang menjemput, kami bermain kejar-kejar. Lelaki perempuan semua turut serta, ketika itu belum ada lagi rasa segan atau malu-malu bermain bersama walau berbeza jantina.
Aku pulang bukan ummi atau ayah yang jemput, tapi menaiki van seorang pakcik yang sangat peramah dengan kanak-kanak. Terima kasih pakcik, yang juga telah terlupa namanya, atas keramahan melayan rencah kanak-kanak cilik dengan penuh sabar. Aku selalunya (hampir setiap hari) akan jadi penumpang terakhir yang turun, kerana pakcik menghantarku selepas beliau menghantar SEMUA rakanku pulang. Aku dihantar ke sekolah ummi, dan di sanalah aku menghabiskan sisa waktu dari jam 11.30 pagi hingga 2 petang. Tempat permainanku ialah di meja guru ummi, kadang-kadang sampai tertidur. Maka, secara tak langsung aku jadi anak angkat kepada guru-guru teman sekerja ummi. Yang rajin menyoalku tentang pembelajaran TASKI ialah Ustazah Rugayah Abdullah, ustazah yang sangat baik hati (dan beliau juga menjadi guru kelasku ketika persekolahan menengahku).
Menjelang jam 2.30 petang, ayah akan menjemputku dan ummi pulang ke rumah. Segala-galanya penuh santai, kerana ketika itu aku cuma punyai 2 orang adik yang masih kecil. Begitulah kitaran hidup harianku sewaktu berTASKI. Betapa mudahnya menjadi kanak-kanak, hanya keseronokan yang ada di dalam fikiran….