Pages

..::Tanah Ini::..

..::Tanah Ini::..

Tuesday, 20 December 2011

Sepetang Menelusuri Sebuah Pengajaran

19 Disember 2011, usai segala urusan penting, bermenung seketika mencari semangat. Maka berpapasan dengan khalayak meninjau-ninjau suasana pasar malam Seksyen 18 Shah Alam, melihat-lihat apa yang menarik dan 'the bomb'. Wah, hujan tiba-tiba menggerutus, mujur sentiasa mempraktikkan 'sediakan payung sebelum hujan'. Menyambung perjalanan meninjau-ninjau. Eh, tiba-tiba ketemu nasi ambang (baca: ambeng). Tapi ringkas sahaja, tanpa tempeyek, sayur campur. Ada pilihan lauk keli goreng, ayam masak kicap, telur gorang, dan ayam masak cili padi (eh resepi asli nasi ambeng tak ada masak cili padi la). Sepadanlah dengan harganya, kalau lengkap semua, harga mahal, tak laku pula (kata makcik penjual nasi ambeng). Maka, nasi ambeng lauk ayam masak kicap jadi pilihan dengan berulamkan tongkeng ayam bakar (satu menu yang langsung tidak menyihatkan! sila jangan ikut).

Dengan berpayung, meredah hujan yang mesra-mesra lebat, sambil memerhati gerai-gerai yang ada, mencetuskan satu cetusan yang tercetus secara tiba-tiba tanpa dirancang cetusan itu. Dalam perspektif ekonomi, pasar malam ini telah menjadi satu alat atau mekanisma untuk perkembangan kewangan dan ekonomi masyarakat Melayu. Kebiasaannya, usahawan Melayu tidak mampu menyewa premis yang tinggi sewanya. Maka, cara termudah untuk mengembangkan ekonomi ialah melalui berniaga pasar malam. Cuba lihat di mana-mana pasar malam, majoriti peniaganya merupakan masyarakat Melayu (dan juga pelanggannya). Walau kelihatan biasa-biasa sahaja, dengan premis perniagaan yang hanya berkanvas, di tepi jalan, namun tetap diminati oleh masyarakat, kerana jiwa pasar malam itu yang dekat dengan masyarakat dan tidak terlalu ekslusif. Sering juga warga profesional yang bertali leher, baju kemas, berkasut kulit Buaya (baca: Crocodile), berjalan di pasar malam mencari makanan atau apa-apa sahaja. Sering juga, makanan yang terkenal, yang menjadi rebutan masyarakat, yang disebut-sebut keenakannya, yang terpaksa beratur panjang untuk membelinya, juga premisnya di pasar malam. Sekadar contoh, nasi kukus ayam dara itu, murtabak ini, dan apa-apa juga jenis makanan. Pasar malam menjadi satu simbolik kemasyarakatan dalam warna kemajuan dan kemandirian ekonomi negara.

Namun dalam mengejar rezeki dunia, alangkah baiknya jika saham akhirat juga tidak diabaikan. Jarang terlihat para peniaga yang berhenti sebentar untuk bersolat, terutamanya ketika Maghrib menjelang. Pernah terlihat seorang dua sahaja peniaga yang bersolat apabila masuk waktu. (Melihat melalui pengalaman, berjalan di pasar malam tika azan Maghrib, namun itu dulu ya, sekarang tidak diamalkan lagi). Cuba berbaik sangka bahawa mereka solat lambat, menunggu pelanggan reda (tapi macam tak surut juga). Jika benar bersolat, walau lambat, alhamdulillah....... Namun jika tidak, maka perbaikilah, semoga rezeki dunia seiring dengan rezeki akhirat, penuh keberkatannya. 

Seruan berjaya di dunia dan juga di akhirat ini tersebut dalam Firman-Nya dalam Surah Al-Jumu'ah ayat 10: "Kemudian setelah selesai sembahyang, maka bertebaranlah kamu di muka bumi, dan carilah apa yang kamu hajati dari limpah kurnia Allah, serta ingatkanlah akan Allah banyak-banyak (dalam segala keadaan), supaya kamu berjaya di dunia dan di akhirat". Ini bermakna, Allah tidak pernah menghalang kita daripada mencari rezeki dunia, namun mestilah berimbang. Dalam Surah yang sama, ayat 11, Allah juga mengingatkan, "Dan apabila mereka melihat barang-barang dagangan atau (mendengar) sesuatu hiburan, mereka lalu pergi kepadanya dengan meninggalkan engkau berdiri. Katakanlah: Apa yang ada di sisi Allah, lebih baik dari hiburan dan barang-barang dagangan itu; dan Allah sebaik-baik pemberi rezeki". Maka, ayuh kita berusaha mencari rezeki dunia seiring dengannya rezeki akhirat, agar kita kelak tidak kerugian di sana.

Ini rupa nasi ambeng. Nasi ambeng ringkas yang dibeli semalam tak dikamerakan, maklumlah dah lapar sangat, lupa nak digambar.

Tuesday, 6 December 2011

Ceritera

Ceritera aku.....
Ceritera kamu....
Ceritera mereka.....
Rencamnya pelbagai, plot dan skrip yang ketara berbeza....
Ceritaku begini, ceritamu begitu, cerita mereka begitu dan begini.....
Dalam perbezaan, tiba satu titik untuk beriringan, bersama mula mencipta ceritera kita semua......
Ceritera untuk kita berdua utamanya....
Ceritera mereka menguatkan ceritera kita berdua.....
Ceritera semua kekal takkan sirna.....
Bumi ini mencipta ceriteraku, ceriteranya dan memasadepankan ceritera kami

ceritera kita di sini mula mengalunkan rasa

pentas yang kita kongsi dalam peredaran zaman yang berbeza yang mencipta ceritera kejayaan berbeza

Tuesday, 29 November 2011

Inilah Sekarang, Apa yang Mampu Kulakukan.....

Begitupun usainya apa yang dinamakan 'team building', namun masih ada kewalahan dalam hati dan diri ini. Aku yang berseorangan, tidak mampu untuk merobah, atau mungkinkah tanda lemahnya iman. Ramai tidak bermakna benar, dan sedikit bukan untuk diremehkan atau disalahkan. Suasana berubah, zaman bertukar, namun pastinya semuanya mampu disesuaikan dengan kehendak-Nya. Mari bersama pohonkan doa agar kita sentiasa bersyukur dengan segala yang ada di sekeliling kita, bersyukur dengan iman yang masih lagi ada di dalam diri, kenikmatan paling lazat. Seboleh upayanya, hindarilah kelekaan dan kegembiraan berlebih-lebihan, agar kelekaan itu tidak akan membawa kepada keingkaran nikmat-Nya dan rezeki yang Dia kurniakan kepada kita. "Dan ingatlah tatkala Tuhanmu memberitahu: Sesungguhnya! Jika kamu bersyukur nescaya Aku tambahi nikmat-Ku kepadamu, dan demi sesungguhnya, jika kamu kufur ingkar sesungguhnya azab-Ku amatlah keras". (Surah Ibrahim: 7). 

Sejenak menikmati kebesaran-Nya lewat semulajadi hangatnya air dari tanah sambil sedikit riadah, bersama En Jasmin@Pak Min

Saturday, 19 November 2011

Segarit Senyum itu.....

Segarit senyuman itu, aku melihat hidupku di dalamnya......
Tenang menyembuhkan rawan sepi atmaku..
Pada semanis raut bibirnya, menukilkan kata-kata indah menguat jiwa, menghumban lara yang bertimpa-timpa...
Tenang wajahnya, membangunkan energi untuk terus bertatih, perlahan-lahan, tanpa hirau segala rencong bumi...
Segarit senyuman itu, membuat aku rindu.....
Segarit senyuman itu, buat aku terus menadah meminta tanpa silu....
Segarit senyuman itu, mahukan aku terus bercekalan dan berganding bahu....
Segarit senyuman itu, itu kehidupanku....
Tempat aku berduka, tempat aku tersenyum, dan kini tempat aku mencipta sejarah indah


Friday, 18 November 2011

Mendengar sambil Memanjat Doa dan Harapan

Meruntun jiwa bila mendengar dan meneliti bait terakhir lagu Irfan Makki, Waiting for Your Call, yang bernada "Labbaikallahumma labbaik...labbaika la syarikalaka labbaik..innal hamda wan ni'mata laka wal mulk...la syarikalaka labbaik...". 
Sungguh, terik berhimpitan di belakang Hijr Ismail lebih menikmatkan berbanding berlapang berdingin hawa di musala pejabat. 
Berlarian di kejauhan Safa Marwah lebih mengasyikkan berbanding berlari sepusingan dengan kasut mahal di trek stadium. 
Memandang Baitul Atiq lebih mengharukan, tanpa mampu dileraikan dengan kata-kata, daripada memandang gagahnya memandang Menara Berkembar di tanah air sendiri. 
Bertingkah-tingkah meniti batuan ke Bukit Cahaya (Jabal Nur) demi sebuah pengajaran perjuangan awal Islam, lebih membahagiakan daripada meniti laluan kaki Gunung Kinabalu. 
Tiupan mendinginkan telinga tika menapak ke Masjid Kubah Hijau (Masjid Nabawi) lebih mengesankan daripada dingin Tanah Tinggi Cameron. 
Merendahkan kepala walau sedetik cuma, kerana terpaksa bergiliran, di Raudah Rasul-Nya, lebih diingati daripada sujud berdoa panjang di Masjid Negara yang indah. 
Memerhati hiruk-pikuk manusia, gelagat perbuatan mereka, lebih membuatkan hati rasa merendah diri, kerana tanpa mengira apa-apa status, semuanya putih berkelubung melakukan ritual yang sama, demi menyahut seruan sebagai tetamu-Nya. 
Segala ritual Islam itu, membuatkanku lebih mengerti dan memahami, "Sesungguhnya Safa dan Marwah itu ialah sebahagian daripada Syiar agama Allah; maka sesiapa yang menunaikan ibadat Haji ke Baitullah, atau mengerjakan Umrah, maka tiadalah menjadi salah ia bersaie antara keduanya. Dan sesiapa yang bersukarela mengerjakan perkara kebajikan, maka sesungguhnya Allah memberi balasan pahala, lagi Maha Mengetahui". (Al-Baqarah: 158). 
Lambaian itu sering menggamitku, melebihi ghairah meladeni perasaan untuk ke Madame Tussauds London, luncuran Alps Switzerland, Eiffel Tower Paris, menyusuri terusan Venice, Glasier New Zealand. 
Alangkah indahnya, jika lambaian Kiswah itu dapat digamit tidak hanya berseorangan. Ya, pasti aku menanam azam untuk ber'labbaik' bersamanya, menikmati nyaman Bandar Bercahaya (Madinah), menghirup kering debu Bumi Bakkah (Makkah) bersama untuk menambah rasa kehambaan, menghargai hidup dengan penuh bakti untuk bekalan, memohon segala kebaikan demi sebuah kelangsungan satu pertalian yang berkekalan selamanya. 
Bersama adik bersetentangan dengan kubah hijau

Sebelum khutbah Jumaat oleh Syeikh Syuraim bermula

Kawasan Raudah

Bukit Marwah, usai bercukur untuk tahallul

Iqra' dibacakan kepada Nabi oleh Jibril

Wednesday, 16 November 2011

Apa Lagi Mahumu.......

Pertengahan malam yang mendamaikan tidak semestinya mendamaikan juga bagi hati. Bisik-bisik jahat (bukan lagi nakal) mula bersipongan dan menari di hadapan mata. Maka bermulalah sesi mengenakan dan menjahanam dengan semahunya, seolah-olah akulah pendosa besar terhadap dirinya. Molekkah cara sebegitu? Melondehkan kelemahan di dinding elektronik buat tatapan, tanpa reda tuan punya nama yang disebut? Kanan, kiri, semuanya menambah sedikit aji-no-moto dalam rencah mulut ke mulut, menjadikan ianya sangat enak, walau tanpa disedari (mungkin juga menyedari, tetapi buat-buat buta hati) ianya menjadi kudis yang akan semakin merebak dalam hatinya. Wah, dirinya tidak pernah kujentik, apatah lagi menyibukkan hal urusannya, tiba-tiba seenaknya mahu mengomel dan mengumpat itu dan ini, situ dan sini, tentang apa sahaja diriku, dengan kebaikan yang cuba ditutup semahunya. 
Bolehkah jika aku mahu mempraktikkan ayat ini kepadanya? "Apabila orang munafik datang kepadamu, mereka berkata: Kami mengakui bahawa sesungguhnya engkau sebenar-benarnya Rasul Allah. Dan Allah sememangnya mengetahui bahawa engkau ialah Rasul-Nya, serta Allah menyaksikan bahawa sesungguhnya pengakuan mereka adalah dusta". (Surah Al-Munafiqun: 1).

Dan aku pula mahu menjiwai firman ini, "Patutkah manusia menyangka bahawa mereka akan dibiarkan dengan hanya berkata: Kami beriman, sedang mereka tidak diuji (dengan sesuatu cubaan)"? (Surah Al-Ankabut: 2).

Pilihlah dirinya mana mahunya. Mahu tergolek, tertempang, terputus, atau lain-lain, itu urusan dirinya, tak sepicing pun aku akan menyibukkan diri dengan khabar-khabarnya yang penuh menyesakkan.

Ini nasi mandi kambing, dan tentunya daging ini sembelihan halal, bukan daging busuk seperti yang dimakan oleh para pengumpat

Monday, 14 November 2011

Senyum Kambing

Satu pagi Aidiladha 1432 Hijrah. Di sebuah perkampungan yang dirahsiakan namanya, bergegas-gegas ke surau untuk menunaikan solat sunat Aidiladha berjamaah. Ketika tiba, para jamaah masih lagi bertakbir, diketuai oleh para ‘otai’ (baca: warga senior) kawasan tersebut. Tidak lama selepas itu, solat sunat pun dimulakan, dan diakhiri dengan jayanya.


Usai solat, sebelum khutbah Aidiladha dimulakan, bilal menuju ke hadapan, lalu melaungkan dengan penuh semangat dan yakin, “Ingatlah wahai tuan-tuan dan puan-puan, sesungguhnya Nabi telah bersabda yang bermaksud, barangsiapa yang berkata-kata walau satu kalimah ‘diam’ pun, maka sia-sialah pahala Jumaatnya”. Automatik terus hati bermonolog (sambil menahan geli hati), “Eh, bila pula solat sunat raya tadi berubah jadi solat jumaat di pagi Ahad?”.


Lalu, khatib membaca khutbah dengan penuh perasaan, bercerita tentang pengertian korban (yang rasanya saban tahun perkara yang sama didengar bila khutbah Aidiladha dibacakan). Usai khutbah, ditutup dengan doa. Maka doa dibaca, juga dengan penuh khusyuk dan bersemangat. Di pertengahan doa, khatib membaca, “Allahumma unsur MUJAHIDAINI fi kulli makan” (maksudnya, Ya Allah, bantulah DUA ORANG pejuang di setiap tempat). Sekali lagi, menggeletek hati ini, “Eh, punyalah semangat wak khatib ni baca doa, dia doakan dua orang pejuang je……”. Yang sepatutnya, “Allahumma unsur MUJAHIDIINI fi kulli makan” (maksudnya, Ya Allah, bantulah PARA pejuang di setiap tempat-doa untuk semua pejuang). Kasihan wak khatib tersebut, membaca doa tanpa berbaris, maka disalah letak baris di huruf ya, habis mengubah terus maksud kalimah tersebut.


Sering sahaja terjadi, para imam dan khatib senior (bahasa yang lebih sopan ya) di kampung-kampung (namun tidak semuanya, hanya segelintir sahaja) melakukan kesilapan-kesilapan kecil yang tidak patut berlaku. Selalu juga para penceramah mengingatkan, sebelum membaca khutbah atau membaca doa, pastikan semua perkataan difahami, dan doa dibariskan dengan betul, agar maksudnya tidak tersasar. Namun, jikalau namanya senior, faham-faham sahajalah…….


Begitu juga, hadis tersebut dipetik seenaknya sahaja tanpa melihat dan menyedari konteks suasana. Barangkali, para bilal mahu mewajarkan khutbah hari raya agar kelihatannya sangat penting dan seolah-olah perkara yang wajib selepas khutbah, sedangkan ianya hanya sunat. Maka hadis tentang khutbah hari Jumaat dihentam keromo bulat-bulat, maka disebutkanlah juga perkataan ‘Jumaat’ tersebut.


Antara adat, ibadat, semangat menjaga keharmonian warga kampung, terutamanya para warga seniornya, manakah yang anda pilih?


p/s: Tajuk entri tidak sama sekali menunjukkan bahawa saya merupakan pembaca tegar Utusan Malaysia, namun sekadar meminjam istilah kata sahaja. Sekian.
Gambar ihsan tika beberapa hari sebelum Aidiladha disambut. (Sate Hut yang besar dan berharga RM1.20 setiap cucuk)