Pages

..::Tanah Ini::..

..::Tanah Ini::..

Friday, 11 November 2011

Ada Ganjaran di Sebalik 'Kesusahan' itu

Alhamdulillah, telah tiba dengan jayanya di kampung halaman bonda. Usai sahaja bekerja petang semalam, dengan menahan kantuk dan memusuhi letih, terus menuju ke Muar. Hajatnya ingin meraikan hari bersejarah, pernikahan anak lelaki kepada kakak bonda saya (atau bahasa mudahnya, abang sepupu saya). Bersemangat untuk bersama meraikan hari bersejarah beliau, mahu ambil berkat. hehe. Kenangan sewaktu kami masih jejaka hingusan (walaupun tak berhingus sebenarnya) di kawasan rumah nenda masih lagi diingati. Cari biji getah, kacau nenek menoreh, pergi belasa'an (jalan-jalan masuk kebun getah tanpa tujuan, dan macam-macam lagi la.
Sepanjang perjalanan petang semalam, keproduktifan pemikiran bergerak aktif. Teringat soseh-soseh yang pernah didengari daripada orang (kes-kes sebelum ini), "Eh buat ape nak penat-penatkan diri pergi jauh-jauh, bukan majlis kite sendiri pun, bukan dapat untung pun. Duit minyak lagi, tol lagi, nak makan lagi....membazir je...bla bla bla". Fikir kali pertama, eh betul juga. Fikir lagi dan lagi, rasa macam nak garang (bahasa agak kasarnya, nak tumbuk) je dengan orang yang cakap macam tu. Mari kita fikir semula dengan lebih waras. Tak teringin ke kita nak termasuk dalam golongan orang yang diberikan naungan-Nya ketika hari kiamat kelak, iaitu orang yang bersilaturrahim atau orang Muslim yang bertemu dan berpisah sesama mereka kerana Allah? Waktu tu, dah tak akan ada dah nilai sekeping dinar emas ke, duit minyak ke, duit tol ke.
Sesekali, kalaupun tak boleh setiap masa, cubalah nyahkan jauh-jauh fikir materialistik macam tu. Cari saham di sana pula banyak-banyak. Ya, pengorbanan tersebut mungkin kelihatan membebankan dan menyusahkan, tetapi sedarlah ganjaran di sebalik perkara tersebut, yang kita hanya akan menghargainya bila kita di sana nanti. Kita dianjurkan untuk berbuat baik sesama kerabat kita, melebihi keutamaan orang lain yang bukan kerabat. Bersilaturrahimlah dengan mereka, raikan momen-momen indah mereka bersama (terkecuali momen negatif), kerana apabila roda hidup kita di bawah kelak, merekalah tempat terdekat untuk memohon pertolongan untuk mengataskan semula roda tersebut. Bantulah mereka semampunya tika momen kesukaran mereka, kerana kelak kita pula akan dibantu dengan cara yang paling baik dan tidak disangka. 
Percayalah, tak ada istilah rugi dalam membina persaudaraan. Soseh-soseh jahat seperti yang telah dinyatakan, itu kata-kata daripada orang yang senget (sekadar meminjam kata rakan) fikir dan otaknya.
Saya mahu dinaungi, apa kau juga mahu? Ayuh

Buat sepupuku, Khairul Farhan, selamat menjadi seorang suami :)

Thursday, 3 November 2011

Demi Matlamat Lebih Utama





Dalam perjalanan mencapai matlamat utama, banyak hal perlu dikorbankan dan diketepikan. Sekadar melihat, menjeling, mengintai, tetapi hati perlu dikekang.....
Cukuplah sekadar menikmati dengan mata, terus bertahan menanti tika itu. Biar berdikit-dikit, demi untuk kegembiraan yang lebih memaknakan. Percayalah, "Bahawa sesungguhnya tiap-tiap kesukaran, disertai kemudahan". (Al-Insyirah: 6)

Wednesday, 1 December 2010

Tempat Jatuh Lagikan Dikenang (1)

Kisah yang mahu dihikayatkan bermula dari zaman pendidikan awalku. Aku dahulu bertadika di TASKI Al-Firdaus, Jalan Masjid Baroh, Tanjong Karang. Pergi taski bersama ummi ayah pagi-pagi lagi. Mereka mengajar di Tanjong Karang, maka aku dibawa bersama. Selalunya akulah orang pertama tiba (kira-kira jam 6.50 pagi,awal tu….). Pintu taski pun belum berbuka (sesi bermula 8 pagi). Maka tercongoklah aku menanti ustazah tiba (maaf sudah lupa gerangan nama ustazah). Belajar bermacam-macam perkara dan subjek baru, dan setiap hari sebelum bermula sesi pembelajaran, kami kena menyanyi beberapa buah nasyid (masih lagi mengingati sebuah nasyid sehingga kini). Taski sewaktu itu tiada gelongsor, taman permainan mini seperti TADIKA KEMAS. Menjelang rehat sahaja, atau waktu bermain, kami hanya bermain dengan blok-blok kayu semacam dadu, disusun-susun seenak hati. Menjelang pulang, sementara menunggu ibu bapa masing-masing datang menjemput, kami bermain kejar-kejar. Lelaki perempuan semua turut serta, ketika itu belum ada lagi rasa segan atau malu-malu bermain bersama walau berbeza jantina.
Aku pulang bukan ummi atau ayah yang jemput, tapi menaiki van seorang pakcik yang sangat peramah dengan kanak-kanak. Terima kasih pakcik, yang juga telah terlupa namanya, atas keramahan melayan rencah kanak-kanak cilik dengan penuh sabar. Aku selalunya (hampir setiap hari) akan jadi penumpang terakhir yang turun, kerana pakcik menghantarku selepas beliau menghantar SEMUA rakanku pulang. Aku dihantar ke sekolah ummi, dan di sanalah aku menghabiskan sisa waktu dari jam 11.30 pagi hingga 2 petang. Tempat permainanku ialah di meja guru ummi, kadang-kadang sampai tertidur. Maka, secara tak langsung aku jadi anak angkat kepada guru-guru teman sekerja ummi. Yang rajin menyoalku tentang pembelajaran TASKI ialah Ustazah Rugayah Abdullah, ustazah yang sangat baik hati (dan beliau juga menjadi guru kelasku ketika persekolahan menengahku).
Menjelang jam 2.30 petang, ayah akan menjemputku dan ummi pulang ke rumah. Segala-galanya penuh santai, kerana ketika itu aku cuma punyai 2 orang adik yang masih kecil. Begitulah kitaran hidup harianku sewaktu berTASKI. Betapa mudahnya menjadi kanak-kanak, hanya keseronokan yang ada di dalam fikiran….

Saturday, 14 August 2010

Cinta Hatiku, Cahaya Hidupku....

Khusyuk membelek-belek majalah Solusi,mencari bahan buat bahan tambahan pengajaran dan pembelajaran anak-anak didik. Mahu diajar silibus,masing-masing sudah bermuka masam,bosan katanya.
Terus membelek,banyak pula hadis Rasul yang dimamah oleh mata dan dicerna oleh otak. Dalam diam,terfikir sesuatu yang sangat menyentuh rasa...
Oh,alangkah bahagianya kehidupan zaman Rasul,hidup bersama Rasul....segala permasalahan dirujuk terus kepada Nabi.Jawapan lengkap,jelas,bersyariat,dan tanpa keraguan diterima dengan penuh bulat hati.Rasul dan para sahabat jarak cuma sekangkang kera,bak kata pepatah Melayu,dek kerana dekatnya Muslim zaman nubuwwah dengan Rasulullah.Para sahabat sangat bahagia,hidup penuh syariat,jawapan-jawapan agama dapat diselesaikan dengan kalam Rasul yang mulia;bila melakukan kesalahan,Rasul menegur dengan penuh hikmah.....
Namun,bila Rasul wafat,gelita hidup para sahabat,sehingggakan Umar tak dapat menerima kenyataan kewafatan Kekasih Allah.Namun Abu Bakar,dengan penuh kebijaksanaan dan ketenangannya,meleraikan gundah di hati para Muslimin dan Umar.
Fikiran terus menjalar jauh,alangkah bahagianya jika aku dapat hidup bersama Rasul,penuh barakah,penuh hikmah,penuh pengibadatan,jauh daripada kemaksiatan dan kekotoran jiwa...
Aku mahukan hidup itu,aku mahukan segalanya abadi,damai,tenang,menghadap wajah mulia Kekasih Allah....
Allah,rezekikan aku untuk mengakhiri hidup di bumi kekasih-Mu,barzakhku di sisi jasad Penghulu Nabi......

Saturday, 31 July 2010

Hari-hari mendatang.......


Kau lahir, dipelihara sebaiknya...
Kau membesar, dipantau segalanya...
Kau ke tadika (baca:TASKI ABIM), kau mula belajar secara formal...
Kau ke sekolah rendah, duniamu semakin meluas dengan teman-teman sekampung...
Kau meraih keputusan UPSR di tanganmu, kau tahu kau menghampakan sekolah dan ibu ayah...
Kau meneruskan persekolahan menengah rendah, kau bertemu suasana baru, namun sangat selesa dan terkenal dek kerana menumpang status ibumu...
Kau menggenggam sijil PMR, kau tahu itu pencapaian kau dan terus berharap untuk ke cita-cita menengah tinggimu...
Kau di menengah tinggi, tertekan dengan pelbagai karenah diri sendiri dan manusia sekeliling...namun untuk berundur tidak akan sesekali...
Kau melihat slip SPM yang coret hurufnya berbeza-beza, kau pasrah untuk memuncak ke lapangan mahasiswa...
Kau menjadi warga universiti, hidup semakin bercabang...kau raih, kau kehilangan, kau mendapat, kau belajar....
Kau tamatkan alam sang penuntut, kau mula berfikir depanmu...
Kanan dugaan, kiri cubaan, depan ujian, belakang tribulasi...
Namun kau perlu faham ini, "ketentuan itu kerja Tuhanmu, kau hanya mampu berusaha dan bertawakal, natijah dan pangakhirannya adalah Tuhanmu penentu"
Kau perlu tanam ini dalam atma, "duniaku ini cuma ladang untuk kehidupan abadi di akhirat kelak, ladang ini pra-bekalan untuk mengharungi hidup gelap sempitmu di alam tanah pabila Tuhanmu mengembalikanmu ke sisi-Nya".

Saturday, 24 April 2010

Positif? Negatif?

Kejohanan debat antara sekolah-sekolah anjuran UIAM baru sahaja berlalu. Tahun ni kali pertama kategori bahasa Arab dipertandingkan. Namun masalah demi masalah timbul, macam-macam hal yang boleh dipersoalkan. Dikatakan UIAM telah berpengalaman menganjurkan kejohanan debat bahasa Arab banyak kali, namun kesilapan-kesilapan 'pandai' tetap juga berlaku. Perkara-perkara penting diremehkan, urusan-urusan kecil dibesarkan, hal-hal utama diketepikan, bilalah lagi nak berubah menjadi ke arah lebih baik. Berurusan biarlah berprotokol, bertatacara, bukan hentam keromo. Undang-undang yang bertulis, punya hitam putih, perlulah diikuti dan dipraktikkan. Terbukalah dengan teguran yang membina. Orang menegur dengan bertatacara, kita terima dengan hati terbuka. Begitulah juga bila kita menegur orang lain. Tak salahkan mencontohi pengurusan debat bahasa Melayu misalnya, yang nampak profesional. Tak dinafikan setiap perkara punya kelemahan, namun ianya boleh diperbetulkan, agar sempurna, dan tidak menjadi buah mulut di mana-mana, hatta di luar kawasan UIAM sendiri. Apa-apapun, biarlah DIA sahaja yang menilai segala niat kita.

Thursday, 8 April 2010

Bersabar dan bersabar.......

Mahu menulis lanjut,tapi minda sudah keletihan dengan kerja-kerja yang tak siap-siap...


Nikmat dan ujian, medan menguji kelazatan hidupmu..
Redakah kau dengan ujian……..
Syukurkah kau dengan nikmat……
Senyuman di kala sukar, tanda tabah dan sabar menempuh dugaan…
Senyuman di kala gembira, tanda syukur dengan Rahmat-Nya…